Hujung minggu yang sungguh padat. Hari Sabtu kelmarin, saya kendalikan satu bengkel di Cheras. Hari Ahad pula, saya berada di Taman Permata untuk berguru dengan Puan Ainon dalam bengkel KJ Method bagi penulisan fiksyen.
Apa yang boleh saya kongsikan adalah mentaliti masyarakat kita sebenarnya perlu diperbaiki. Kita telah dididik oleh sistem pendidikan Malaysia yang bermodulkan sistem pendidikan Barat sedangkan kita adalah orang Asia. Sistem pendidikan Barat, cara pemikiran mereka ‘Linear‘ iaitu lebih terus dalam berfikir dan membuat keputusan.
Sepatutnya kita sebagai orang Asia, cara pemikiran perlu berbeza sama sekali. Sebagai contoh apa yang telah ditonjolkan oleh bangsa Jepun yang lebih kepada pemikiran ‘Non-Linear‘. Pendekatan pemikiran ‘Fuzzy Logic‘, bahasa senang nak faham kaedah cuba jaya. Tiada yang salah dalam setiap kerja. Semua yang bakal kita lakukan, adalah betul pada diri kita.
Maka dengan pemikiran seperti ini terhasillah KJ Method (Metodologi Kawakita Jiro). Jika anda hendak lebih maklumat tentang Kawakita Jiro, pakcik Google akan berikan lebih banyak info. Hanya taip perkataan tersebut di enjin carian.
Menulis 3 – 5 buah buku serentak dalam satu masa. Inilah yang dikongsikan oleh Puan Ainon. Amat sesuai untuk orang yang amat sibuk dengan tugasan harian. Mungkin saya termasuk dalam golongan ini. Apabila mentaliti seperti ini telah diubah, maka tiada yang mustahil untuk menghasilkannya. Kita lihat beberapa orang penulis aktivis seperti Saudara Zamri Mohamad, Puan Ainon sendiri, Jutawan Azizi Ali dan lain-lain mampu menghasilkan beberapa buah buku dalam masa yang amat singkat.
Dengan misi yang besar, “Objektif buku-buku PTS adalah untuk memandaikan bangsa“. Inilah yang keluar daripada mulut Puan Ainon semasa bengkel beliau. Saya sebagai peserta, memang terbuka minda. Memandaikan bangsa dari pelbagai sudut. Pandai berniaga, pandai berurusan dengan manusia, pandai menggandakan status kewangan, pandai menguruskan keluarga, pandai memartabatkan bahasa, pandai dari segala aspek. Sungguh besar makna perkataan ‘memandaikan bangsa’ tersebut.
Baiklah itu yang pertama. Keduanya mentaliti dalam etika kerja kita. Ada orang mampu mencapai beberapa kejayaan dalam satu-satu masa. Ada orang juga mampu menguruskan beberapa tanggungjawab dalam satu masa. Dan ada orang juga mampu melaksanakan beberapa tugas dalam satu masa. Persoalan disini, mengapa mereka mampu melaksanakan beberapa tugas dalam satu-satu masa? Bagaimana dengan diri kita? (saya dan anda perlu jawab sendiri dalam hati ya!)
Saya bagi contoh, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Semasa hayat beliau, berapa banyak filem, album, lagu yang telah dihasilkan? Sempat lagi berlakon, bermain alat muzik dan sebagainya.
Datuk Nicol Ann David, mula mencipta nama di pentas dunia dalam sukan Squash sejak beliau dibangku persekolahan lagi. Dan beliau berjaya mencipta kejayaan dalam peperiksaan SPM serentak dengan kejayaan peringkat dunia dalam Squash.
Contoh yang paling ketara adalah ‘Manusia Agong’, junjungan besar Nabi Muhammad kita. Baginda seorang pendakwah, usahawan berjaya, suami contoh, pejuang kental, hakim besar, duta negara, pemimpin disegani dan banyak lagi jawatan yang baginda pegang.
Inilah yang dikatakan ‘Multi Tasking‘, mampu melakukan beberapa amanah dalam satu masa. Kita boleh perhatikan beberapa individu disekeliling kita yang mempunyai ciri-ciri seperti ini. Lihat pengurusan masa mereka dan lihat juga pencapaian yang telah mereka hasilkan.
Satu lagi yang saya nak kongsikan berkenaan dengan mentaliti dan adab kita dalam berurusan. Ada beberapa orang yang bertanyakan tentang tuisyen melalui emel kepada saya, tetapi menggunakan ayat yang kita rasakan kurang selesa. Dengan pembukaan (introduction) yang kadang-kadang tanpa memberi salam. Ditambah lagi dengan penggunaan singkatan perkataan yang memerlukan saya belek-belek untuk fahamkan maksudnya.
Mereka tidak dapat membezakan menghantar emel kepada rakan-rakan dan kepada orang yang baru dikenali. Alangkah seronok dan indahnya jika kita membuka emel, dihias dengan ayat-ayat yang sedap kita membaca. Maka sedap jugalah kita hendak menjawab dengan penuh gembira sambil memberi input-input berguna.
Saya rasakan perkara ini amat penting. Hari ini emel diibaratkan seperti surat. Maka jika hendak menulis emel, maka gunakan ayat-ayat yang formal. Bukan seperti menekan pad handphone menghantar sms. Beza jauh sama sekali. Kita perlu menjaga adab dan tatatertib menghantar emel.
Ada juga yang menghantar emel kepada saya untuk memohon kerja dalam keadaan seperti mereka ini dah lama kenal saya. Saya sungguh kecewa. Mentaliti seperti perlu diubah 100% demi menaiktarafkan adab dan tatasusila kita sebagai bangsa Melayu yang penuh dengan adab sopan.
Akhir sekali, saya percaya dengan penghijrahan mentaliti kepada yang lebih positif sebenarnya akan meningkatkan nilai produktiviti kehidupan kita. Dulu saya tak pandai membina website, hari ini terciptalah MasterYus.Com, SeminarTuisyen.Com, CikguTuisyen.Com dan beberapa lagi yang saya lakukannya sendiri. Dulu saya tak ada masa menulis, tetapi hari ini saya telah hasilkan buku fizikal pertama ‘Bagaimana Menjadi Cikgu Tuisyen Berjaya‘ (buku kedua dalam proses insyaAllah). Dulu saya kerja berseorangan, tetapi hari ini telah mempunyai 3 orang staff yang membantu kerja-kerja saya. Dulu saya bujang, sekarang dah ada seorang isteri dan 2 orang anak. Dulu saya budak kecil, tetapi sekarang dah dewasa 🙂 . Bukan niat untuk menunjuk, saya coretkan disini untuk diri saya sendiri supaya 5 tahun dari sekarang, apabila anak-anak saya semakin besar maka saya boleh tunjukkan post blog ini kepada mereka.
Sebarang pendapat, sila luahkan di bahagian komen ya!
Penulis : Yusnizam Yusoff aka –Master Yus–
insyaALLAH…terima kasih atas perkongsian…
Dah beberapa ketika tak singgah ke blog ni, nampaknya makin sibuk bro yus kita ni, harapnya bro terus berjaya dalam apa jua yang diusahakan… 🙂
Hanya menyibukkan diri sahaja, walaupun tak banyak kerja 🙂 . Cuma kadang-kadang jika kerja datang serentak tu yang kabut. Harapnya bro pun akan sukses sama. Kan best jika lebih ramai orang sukses. Kalu open table tu berebut-rebut nak blanja, ye tak?
tu laa… harapnya macam tu laa… 😀 tgh berusaha gak nak mencapai kejayaan macam orang2 lain(termasuk bro yus) yang dah berjaya… hehehe…