Seminar Perniagaan Internet & Affiliate + Bengkel Penulisan PTS

Share

Hari Sabtu, 24hb lepas saya berkesempatan menghadirkan diri ke Seminar Perniagaan Internet & Affiliate oleh Saudara Mawardee (Usahawan Internet Malaysia) yang bertempat di dewan kuliah Fakulti Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Beliau masih lagi belajar tetapi boleh dianggap antara individu yang berjaya menjana pendapatan ribuan malah ratusan ribu ringgit menerusi internet. Seramai lebih 30 orang yang hadir. Seminar yang diberi nama ‘Kini anda mampu menjana RM100,000 menerusi Internet’, dan beliau sendiri telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil.

Dalam seminar tersebut, Mawardee telah berkongsi pengalaman beliau mendapat RM100,000 pertama menerusi perniagaan internet. Apa yang beliau lakukan adalah dengan menjual produk digital iaitu ebook dan program affiliate. Dengan dua kaedah perniagaan internet tersebut, telah membuka mata peserta yang hadir.

Terlalu banyak ilmu baru tentang perniagaan internet yang beliau kongsikan dan pengisian modul juga amat praktikal. Peserta bukan sahaja diajar teori, tetapi ada juga beberapa praktikal yang menggunakan wireless di dewan kuliah. Saya sebagai pendatang baru yang ingin cuba menceburi bidang perniagaan internet ini merasakan objektif yang hendak dicapai dalam seminar tersebut telah saya terima. Diakhir seminar, beliau ada membuat sedikit kaji selidik kepada peserta untuk memilih model perniagaan internet mana yang hendak peserta jalankan sebagai langkah pertama. Saya sendiri memilih penghasilan produk digital sebagai batu loncatan awal.

Sebelum ini saya sendiri pernah menjual ebook ‘Buat Duit Dengan Tuisyen’ di laman web CikguTuisyen.Com dan sedikit sebanyak mengajar saya bagaimana untuk menguruskan penjualan ebook tersebut dengan lebih berkesan dimasa akan datang. InsyaAllah, kemunculan laman web CikguTuisyen.Com dengan produk yang lebih baik bakal ditampilkan tak lama lagi (doa-doakan saya ya!). Anda boleh tinggalkan nama dan alamat emel di web CikguTuisyen.Com untuk diberi keutamaan makluman kemunculan produk saya kelak.

Seminar yang dimulakan sejak jam 9 pagi telah berakhir jam 6petang. Ramai peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur dan Selangor. Dan saya cukup teruja dengan seorang peserta yang datang dari Sarawak semata-mata untuk menuntut ilmu perniagaan internet daripada orang yang berpengalaman. Saya yakin pelaburan beliau (En Syed Akil) pasti berbaloi.

Hari Ahad (semalam) pula, saya menghadirkan diri ke ‘Bengkel Penulisan PTS‘ yang dikelolakan oleh sifu dunia penerbitan buku iaitu Puan Ainon Mohd. Siapa yang tak kenal Puan Ainon, seorang yang cukup berilmu dan mempunyai kredebiliti dalam bidang penulisan di Malaysia. Saya amat beruntung dapat menerima ilmu daripada beliau.

Sangat banyak ilmu, info, panduan, tip dan rahsia penulisan yang saya dapat. Selama ini banyak lagi yang saya tak tahu, walaupun saya telah menghasilkan sebuah buku fizikal. Inilah yang dikatakan ‘Ilmu Allah itu sangat luas untuk dipelajari. Semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang belum kita ketahui.

Antara yang dikongsikan oleh Puan Ainon adalah bagaimana menulis buku menggunakan teknik adaptasi. Selama ini saya menulis berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang Cikgu Tuisyen sepenuh masa. Selepas mengetahui teknik adaptasi ini, suatu hari nanti pasti saya boleh menghasilkan beberapa buah buku yang luar daripada skop tajuk tuisyen.

Selain itu, beliau juga akan menekankan hal berkaitan hakcipta. Terdapat beberapa rahsia disebalik hakcipta ini. Satu ayat beliau yang saya suka “Nak tulis buku tak susah, keciciran ilmu sangat banyak dan mudah untuk diperoleh. Cuma ramai yang tak sedar dengan keciciran ilmu tersebut. Kutip je lah ilmu yang tercicir tu!” Anda boleh nilai sendiri kata-kata seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan ini.

Melalui teknik ini, salah seorang anak didik beliau telah berjaya menghasilkan 13 buah buku. Dan yang paling menariknya, usianya belum mencecah 30 tahun. Siapa lagi jika bukan Saudara Zamri Mohamad, seorang penulis buku sepenuh masa. Dan saya diberitakan, 3 buah buku lagi bakal diterbitkan oleh beliau. Saya amat teruja dengan kejayaan beliau. Ramai lagi penulis-penulis muda di PTS yang telah berjaya menerbitkan buku masing-masing.

Bengkel berakhir jam 4 petang. InsyaAllah minggu hadapan, saya sekali lagi akan menghadirkan diri di bengkel tersebut yang akan diajarkan teknik KJ Method, bagaimana kaedah menulis untuk orang sibuk dan bagaimana menulis 3 buah buku dalam satu masa.

Apa yang yang saya peroleh dengan menghadirkan diri ke bengkel dan seminar tersebut? Jika inilah pertanyaan kawan-kawan saya, maka saya akan jawab “banyak”. Dengan sedikit pelaburan wang ringgit, masa dan tenaga, banyak perkara yang bermanfaat saya terima.

Pertama, ilmu. Sudah tentu kehadiran saya ke bengkel dan seminar tersebut atas dasar ilmu. Ilmu yang diajarkan adalah daripada mereka yang betul-betul berpengalaman dan tahu dalam bidang tersebut. Prinsip saya, setiap majlis ilmu yang bakal saya sertai, pasti ada ilmu baru yang saya terima. Kadang-kadang kita dah tahu, cuma mungkin lupa.

Kedua, mentor. Sebelum hadir ke bengkel dan seminar tersebut, saya telah mendapatkan dan membaca buku daripada Puan Ainon. Saya juga telah membeli beberapa produk daripada Mawardee. Jadi saya telah kenal mereka sebelum ini. Apabila mereka mengadakan bengkel dan seminar, maka inilah saat yang tak boleh saya lepaskan. Saya perlu berjumpa dengan mereka dan memberitahu saya adalah salah seorang yang telah membaca karya mereka. Jika saya hendak jumpa mereka diluar, agak mustahil boleh berlaku (walaupun boleh berlaku). Jadi di bengkel dan seminar merekalah masa yang sangat sesuai untuk kita perkenalkan diri kita (sebagai pelanggan dan peminat blog) kepada mereka.

Ketiga, jumpa kenalan baru. Dengan menghadirkan diri ke seminar, kita akan berjumpa dengan rakan seminar kita. Daripada situ jaringan kenalan boleh dilakukan. Mungkin itu adalah pertama kali kita kenal mereka, dan tak salah dengan pertemuan awal itu boleh menjadikan mereka rakan perniagaan kita dimasa akan datang. Ini kerana boleh saya katakan yang hadir pada seminar perniagaan internet adalah mereka yang terdiri sama golongan dan idealogi dengan kita. Dan yang datang bengkel penulisan pula adalah mereka yang mempunyai hasrat yang sama iaitu untuk menghasilkan buku mereka sendiri. Saya sendiri tidak melepaskan peluang bertukar-tukar kad perniagaan sebagai langkah pertama hubungan perkenalan.

Keempat, jumpa kenalan yang kita pernah jumpa sebelum ini. Perjumpaan seperti di seminar dan bengkel adalah peluang untuk saya berjumpa dengan rakan yang pernah kenal sebelum ini. Sebagai contoh, dengan bengkel penulisan tersebut, saya boleh berjumpa dengan Saudara Zamri Mohamad (sebelum ini pernah kenal di satu seminar), Saudara Zul SmartUsaha (kenal menerusi blog beliau), Saudari WaidaKmy (kenal menerusi online blog), Saudara Izwan (kenal menerusi blog) dan beberapa orang lagi (maaf jika saya tak dapat lampirkan kesemuanya).

Beberapa orang nama diatas, anda boleh singgah sendiri di blog mereka. Mereka ada Pro Blogger (penulis blog pro), dan banyak ilmu dan manfaat yang boleh diperoleh hanya daripada blog mereka. Mereka juga merupakan Usahawan Internet dan mempunyai pengikut (blog) dan skill pemasaran internet masing-masing. Saya sendiri sebagai baby blogger, yang baru hendak bermula menulis blog, pastinya sokongan dan bimbingan daripada mereka amat diperlukan.

Kelima, motivasi dan peluang. Saya rangkumkan kedua-duanya disini. Dengan berjumpa dengan orang-orang hebat diatas sebenarnya memotivasikan saya untuk sama berjaya seperti mereka. Ada juga peserta yang hadir adalah seorang ahli perniagaan yang selangkah lagi untuk berjaya. Ada juga yang sungguh bersemangat dan bermotivasi. Ada yang mempunyai empayar pengikut dan perniagaan sendiri dan sebagainya. Maka dengan ini banyak peluang yang kita boleh tukar pendapat dengan mereka.

Dah panjang rasanya post kali ini. Ye la saya rangkumkan dua hari aktiviti saya dalam satu post, beginilah jadinya. Semoga ada manfaat dalam post kali ini. Anda boleh tinggalkan pendapat dan pandangan anda tentang bengkel dan seminar yang telah saya hadir ini.

JOIN OUR NEWSLETTER
I agree to have my personal information transfered to AWeber ( more information )
Join over 3.000 visitors who are receiving our newsletter and learn how to optimize your blog for search engines, find free traffic, and monetize your website.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.
Share

Related Posts

About The Author

11 Comments

Add Comment