PMR: 28,188 pelajar peroleh semua A

Share

Satu kebanggaan untuk diri saya dan isteri, dimana sekolah kami (zaman dahulu) diiktiraf dalam akhbar. Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya dan SMK Sultan Badlishah, Kulim antara sekolah yang mendapat tempat sebagai salah sebuah sekolah yang melahirkan pelajar cemerlang PMR di Malaysia.

—————————————————————————————

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lalu.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.
“Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lalu,” katanya.

Alimuddin berkata, prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi menurun sedikit.

“Peratusan berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata, untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat semua A.

Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

Dua lagi pelajar istimewa lain yang juga mengalami masalah rabun, Debbie Lim Huey Chin dari SMK Sultan Ismail dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru, memperoleh 8A.

Sekolah harian terbaik termasuk SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor, SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Badlishah, Kulim, dan SMK Sultanah Asmah, Alor Setar serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, serta SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

SM Imtiaz, Besut, dan SM Imtiaz, Kuala Berang, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

Di IPOH, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) mencatatkan kelulusan tertinggi iaitu seramai 85 daripada 107 calon berjaya memperoleh 9A manakala satu-satunya sekolah harian yang mencatatkan kelulusan 100 peratus adalah SMK Taman Tasek Taiping.

Di KUALA LUMPUR, keputusan secara keseluruhannya meningkat daripada segi kuantiti dan kualiti.

Pengarah Pelajaran Kuala Lumpur, Sulaiman Wak berkata daripada 21,921 calon yang menduduki peperiksaan itu, 15,533 atau 70.86 peratus telah mencapai keputusan A, B, C atau D iaitu lulus dalam semua mata pelajaran berbanding 14,986 atau 70.20 peratus tahun lalu.

“Dari segi kecemerlangan individu di peringkat negeri, seramai 1,939 atau 8.85 peratus calon telah mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,789 atau 8.38 peratus pada tahun 2008, iaitu peningkatan sebanyak 0.47 peratus,” katanya.

Di KOTA KINABALU, bilangan calon yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 734 orang berbanding 659 orang tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Muhiddin Yusin, berkata 14 mata pelajaran yang ditawarkan kepada 38,741 calon di Sabah tahun ini menunjukkan peningkatan kelulusan memberangsangkan berbanding tahun lalu dengan kelulusan hampir 100 peratus.

“Turut mencatatkan kelulusan hampir 100 peratus ialah mata pelajaran Bahasa Kadazan yang pertama kali ditawarkan dalam peperiksaan berkenaan,” katanya.

Di ALOR SETAR, seramai 1,736 orang daripada 35,155 orang calon mendapat semua A sama ada dalam tujuh, lapan atau sembilan mata pelajaran yang diduduki dengan peratusan sebanyak 4.94 peratus.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abd Rahman berkata pencapaian gred purata bagi tahun ini ialah 2.878 berbanding 2.926 tahun lepas iaitu meningkat sebanyak 0.048.

“Peratus penguasaan tahap minimum dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.37 peratus tahun ini, iaitu 58.22 peratus berbanding 57.85 peratus tahun lalu,” katanya.

Shahidan berkata, sebanyak 10 mata pelajaran dari 15 mata pelajaran yang ditawarkan telah meningkat peratusan pencapaian pada tahun ini iaitu Sejarah, Geografi, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup Teknikal, Kemahiran Hidup (Ekonomi Rumah Tangga) dan Kemahiran Hidup Pertanian.

Di JOHOR BAHRU, keseluruhan 58,327 calon yang menduduki PMR 2009 mendapat pencapaian lebih baik berbanding calon tahun sebelumnya dengan 3,308 daripada mereka memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin, berkata keputusan itu menyaksikan peningkatan 0.47 peratus berbanding 3,031 calon yang mendapat keputusan cemerlang itu tahun lalu. – Bernama

Kredit daripada Berita Harian Online -www.bharian.com.my

JOIN OUR NEWSLETTER
I agree to have my personal information transfered to AWeber ( more information )
Join over 3.000 visitors who are receiving our newsletter and learn how to optimize your blog for search engines, find free traffic, and monetize your website.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.
Share

Related Posts

About The Author

Add Comment