Laman web pengusaha IKS ke pasaran global
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Dis. – Pengusaha industri kecil sederhana (IKS) kini boleh memasarkan produk mereka ke pasaran global dengan kos yang murah menerusi laman web yang diasaskan oleh Virtual Scope Sdn. Bhd.
Pengarah Eksekutifnya, Zawahir Abdullah berkata, kos membangunkan laman web yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha IKS tidak mampu memasarkan produk mereka menggunakan laman web.
Katanya, kebanyakan peniaga IKS menggunakan blog yang mempunyai keupayaan yang terhad.
“Tidak ramai peniaga terutama bumiputera menggunakan laman web profesional kerana enjin yang digunakan menelan perbelanjaan ribuan ringgit.
“Faktor itu menyebabkan kami menawarkan pakej yang murah untuk membantu peniaga memiliki laman web sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran ‘MyOwnWeb2u.com’ (MOW) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum di sini malam semalam.
Zawahir berkata, kos yang murah dikenakan bagi membangunkan satu laman web hanya RM365 bagi tempoh setahun.
“Pakej yang begitu murah iaitu pada kadar RM1 sehari dan ia adalah percuma untuk tahun berikutnya,” katanya.
Menurutnya, ciri-ciri mesra pengguna menjadi asas kepada reka bentuk setiap halaman bagi memudahkan peniaga yang tiada kepakaran dalam bidang teknologi untuk menggunakannya.
“Setiap halaman web itu direka secara profesional yang menekankan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan sesiapa yang mengenali Internet,” katanya.