Temuramah bersama Mingguan MStar (Akhbar Sunday Star)

Share

Salam mulia pembaca sekalian.

Pada Jumaat, 7 Januari 2011 saya telah ditemuramah oleh seorang wartawan dari Mingguan MStar. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, sisipan Mingguan MStar ini adalah sisipan yang terkandung dalam akhbar Sunday Star. Adik beradik dengan The Star (keluaran Isnin Hingga Sabtu).

Secara jujurnya, inilah pertama kali saya membeli akhbar tersebut (Sunday Star) dan ini jugalah pertama kalinya saya ditemuramah menerusi media akhbar untuk memberikan pandangan dan pendapat berkenaan Industri Tuisyen di Malaysia.

Hasil temuramah tersebut telah dipaparkan secara eksklusif pada keluaran Ahad 9 Januari 2011. Saya taknak menulis dengan lebih panjang sebab segalanya ada disini : http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2011/1/10/mstar_mingguan/20110110143437&sec=mstar_mingguan

Dan saya ‘copy & paste’ juga di blog ini sebagai rujukan dan kenang-kenangan. Dikreditkan kepada link http://mstar.com.my/arkib/?sec=mingguan

MINGGUAN MSTAR
Isnin Januari 10, 2011

Lubuk Emas Industri Tuisyen
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PENCAPAIAN semua A dalam akademik menjadi sasaran ibu bapa di negara ini yang semakin mementingkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka.

Justeru, tidak hairanlah anak-anak sudah dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun Satu berbanding dahulu hanya menjelang musim peperiksaan.

Senario itu menyaksikan kebanjiran pusat tuisyen bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Siapa tidak mahu melepaskan ‘lubuk emas’ apabila perniagaan institusi pendidikan swasta itu mampu menjana pendapatan lumayan sehingga jutaan ringgit.

Ikuti laporan eksklusif wartawan Mingguan mStar mengenai industri semakin popular ini.

TUISYEN – perkataan ‘ajaib’ yang kini tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan murid dan pelajar seawal Tahun Satu.

Jika diimbas kembali era 1990-an, tuisyen hanya disebut lebih kerap setiap kali menjelang musim peperiksaan utama negara sama ada Sijil Rendah Pelajaran (kini Peperiksaan Menengah Rendah – PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ramai ibu bapa kini menjadikan pusat tuisyen sebagai sekolah kedua untuk anak mereka bagi memastikan keputusan cemerlang.

Namun senario itu kini berbeza.

Mengikuti kelas tuisyen kini seolah-olah menjadi kemestian bagi setiap murid dan pelajar yang mengikuti bukan hanya pembelajaran di sekolah tetapi di luar waktu persekolahan.

Masyarakat seakan-akan obses untuk ke kelas tuisyen.

Matlamatnya semata-mata untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Tumbuh bagai cendawan lepas hujan

Kerana itu, tidak hairanlah di seluruh negara kini wujud sebanyak 2,967 pusat tuisyen yang berdaftar sehingga 31 Disember 2010, berdasarkan statistik Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pelajaran.

Sama ada kewujudan pusat-pusat tuisyen terbabit benar-benar untuk membantu ke arah kecemerlangan atau semata-mata mengaut keuntungan, hanya mereka yang mengetahui.

Pengarah Urusan UTUS SMART Training & Consultancy, Yusnizam Mohamad Yusoff berkata, pendapatan perniagaan pusat terbabit begitu subjektif kerana bergantung kepada permintaan.

Menurut beliau, semakin ramai pelajar mengikuti kelas tuisyen, semakin banyak pendapatan boleh dijana sekali gus menunjukkan industri itu amat berpotensi untuk terus berkembang.

“Contohnya, jika sesebuah perniagaan tuisyen berskala besar mempunyai satu cawangan yang mempunyai 1,000 pelajar dengan yuran minimum bulanan RM100.

“Jumlah pendapatan bulanannya adalah RM100,000. Dalam tempoh setahun sahaja menjadikannya lebih RM1 juta sekali gus menunjukkan perniagaan ini sangat menguntungkan.

“Itu baru satu cawangan. Kebiasaannya, perniagaan tuisyen berskala besar mempunyai lebih satu cawangan,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Yusnizam Mohamad Yusoff

Yusnizam berkata, jika separuh daripada 2,967 pusat tuisyen berdaftar itu menjalankan perniagaan berskala besar maka nilai industri berkenaan mencecah lebih RM1 bilion.

“Oleh itu, tidak mustahil sekiranya industri tuisyen mencecah nilai berbilion ringgit berdasarkan pertumbuhannya yang berkembang dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Yusnizam berpengalaman dalam industri berkenaan bermula sebagai guru sambilan di rumah dan seterusnya serius menjadikannya sebagai kerjaya di pusat tuisyen.

Beliau juga merupakan penceramah bebas dan menganjurkan seminar mengenai tuisyen serta menulis buku berjudul Bagaimana Menjadi Cikgu Tuisyen Berjaya di samping menjadi penulis bersama dengan Natra Abd Hamid bagi Rahsia Usahawan Tuisyen.

Menurut Yusnizam, pusat tuisyen di Malaysia lebih menumpukan akademik berbanding negara lain yang mengusahakannya sebagai pembelajaran tambahan bukan akademik.

Beliau berpendapat, senario itu disebabkan oleh sistem pendidikan di negara ini masih ketinggalan selain ibu bapa yang mementingkan pencapaian akademik anak-anak.

“Walaupun industri ini masih dianggap baru di negara ini namun ia semakin berkembang berikutan pendidikan di institusi pendidikan swasta itu kini menjadi trend.

Pusat tuisyen turut memainkan peranan membantu pelajar dalam pelajaran.

“Jika dahulu pusat tuisyen hanya berorientasikan peperiksaan tetapi kini ibu bapa menghantar anak-anak mereka seawal Tahun Satu,” katanya.

Minimum RM10,000

Secara kasarnya, Yusnizam berkata, pusat tuisyen mampu menjana pendapatan minimum RM10,000 sebulan dan bagi yang beroperasi mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk mendapatkan pulangan modal yang dilaburkan.

Beliau berkata, perniagaan yang berjaya apabila ia beroperasi di lokasi strategik dan mempunyai penjenamaan yang kukuh berlandaskan pengalaman serta kualiti.

“Hari ini wang menjadi soal kedua bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana apa yang lebih penting adalah sistem pembelajaran berkualiti.

“Jenama sesebuah pusat tuisyen dipengaruhi oleh rekod operasinya, mempunyai guru-guru berkelayakan dan berpengalaman serta modul pembelajaran terbaik,” katanya.

Oleh itu, jelasnya, tidak mustahil sekiranya seorang usahawan tuisyen itu mampu bergelar jutawan dan diramalkan juga nilai industri ini boleh mencecah bilion ringgit.

Kerajaan melaksanakan transformasi pendidikan pendidikan yang selaras dengan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP).

Pelaksanaan itu sedikit-sebanyak akan menyaksikan peralihan terhadap perhatian ibu bapa mengenai sistem pendidikan di negara ini.

Bagaimanapun Yusnizam berkata, industri tuisyen tidak akan terjejas meskipun terdapat ramalan bahawa kemerosotan permintaan terhadap pusat pembelajaran tambahan itu.

“Sistem pendidikan daripada Kementerian Pelajaran merupakan induk bagi pusat tuisyen maka penyelarasan akan dilakukan seiring dengan transformasi tersebut.

“Begitu juga dengan cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), semuanya perlu dikaji terlebih dahulu kerana masing-masing saling berkaitan dalam memantapkan sistem pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu Yusnizam berkata, peranan pusat tuisyen tidak dinafikan turut penting bagi membantu para pelajar mendapatkan lebih kefahaman dalam pembelajaran di kelas.

Beliau yakin industri tuisyen akan terus maju kerana pendidikan begitu penting dan menjadikannya sebagai teras perniagaan pasti satu gabungan keuntungan berlipat ganda.

“Apa sahaja yang melibatkan perniagaan boleh mencatatkan pendapatan jutaan ringgit jika bertetapan dengan strateginya. Pengusaha pusat tuisyen sudah tentu boleh bergelar seorang jutawan,” katanya.

Share

Related Posts

About The Author

12 Comments

Add Comment

Unable to load the Are You a Human PlayThru™. Please contact the site owner to report the problem.