Subhanallah…Pengalaman Pertama Mengerjakan Umrah di Tanah Suci Mekah & Madinah

Share

Assalamualaikum dan salam kasih sayang kepada semua!

 mekah

Saya bukanlah anak seorang Jutawan mahupun anak seorang Hartawan yang Kaya Raya. Saya adalah anak kepada Rukhayah binti Sangat, seorang suri rumah sepenuh masa dan juga anak kepada Mohamad Yusoff bin Adnan yang hanya berkerja sebagai seorang kerani di sektor swasta. Jika nak dibandingkan dengan keluarga lain yang mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan masa yang membolehkan golongan seperti ini membawa anak-anak mereka melancong dan pergi kemana sahaja yang mereka suka termasuklah menziarahi bumi suci Mekah dan Madinah.

 

Kadang-kadang ada juga perasaan cemburu dihati saya apabila melihat kenalan-kenalan (waktu sekolah dan universiti)  yang telah kesana sini melancong ke luar negara di waktu usia muda belia lagi. Sedangkan pada waktu itu, saya masih lagi hanya mampu belajar dan terus belajar demi mengejar segulung ijazah.

 

Alhamdulillah… Alhamdulillah… Alhamdulillah… Hanya inilah ungkapan keramat yang mampu saya lafazkan apabila dijemput sebagai Tetamu Allah ke bumi suciNya pada 25 Mei hingga 5 Jun 2012 yang lalu. Niat yang telah saya cetuskan sejak tahun 2010 untuk ke bumi suci Mekah dan Madinah, Allah telah izinkan saya dan keluarga sampai pada tahun 2012.
Saya coretkan dan catatkan pengalaman berharga ini untuk tatapan semua ;

 

25 Mei 2012 ; Rombongan kami berkumpul di KLIA selepas Solat Asar. Seramai 49 orang termasuk isteri, mak dan abah saya yang akan sama-sama berangkat menunaikan ibadah Umrah. Kami berlepas jam 7 malam (waktu Malaysia) menuju ke Dubai (transit disana) menaiki pesawat Emirates.

26 Mei 2012 ; Tiba di Airport Dubai kira-kira jam 12 tengah malam. Dan penerbangan seterusnya ke Madinah lebih kurang jam 3 pagi. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah lebih kurang jam 4 pagi (waktu Madinah). Aktiviti seharian hari pertama ini adalah berehat dan solat jemaah 5 waktu di Masjid Nabawi. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi sungguh hiba dan susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya amat bersyukur dapat mengerjakan solat di masjid nabi ini yang mana pahalanya digandakan 10,000 kali ganda, masyaAllah…

Setiap kali merebahkan dahi ke tempat sujud, terdetik hati saya berdoa “Ya Allah, Engkau izinkanlah aku sujud ini di bekas-bekas tempat sujudnya Para Nabi dan Para Sahabat Radhiallahu Anhum. Izinkanlah aku duduk ini di bekas-bekas tempat duduk mereka yang memperjuangkan AgamaMu Ya Rahman”.

Memang susah nak saya ungkapkan dengan kata-kata apabila kita dapat rasa sendiri nikmat Allah untuk beribadah di tempat suci ini. Alhamdulillah, kami tinggal di Al-Ansar Golden Hotel lebih kurang 50 meter dihadapan pintu masuk Masjid Nabawi (menerusi bahagian belakang).

 

Sepanjang 3 hari di bumi suci Madinah, kami dibawa melawat tempat-tempat bersejarah seperti Bukit Uhud dan perkuburan Baqi’, dataran tempat perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah Pertama untuk menggantikan tempat Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat, Kilang Percetakan Al-Qur’an dan Ladang Kurma.

 

29 Mei 2012 ; Selepas Check-Out dari hotel, dengan berpakaian Ihram, kami melakukan Ziarah Wida’ dan berangkat ke Tanah Suci Mekah seawal jam 10 pagi (waktu Madinah). Kami singgah di Bir Ali untuk miqat dan berniat Ihram. Kami singgah di R&R untuk makan tengahari dan solat. Kami tiba di Mekah kira-kira jam 5 petang (waktu Mekah) dan menginap di Fairmont Hotel, Clock Tower betul-betul dihadapan Masjidil Haram.

 

Jam 9 malam kami turun dari hotel untuk mengerjakan Ibadah Umrah. Subhanallah… Walhamdulillah… Allahu Akbar… Pertama kali mata ini melihat Keindahan Masjidil Haram dengan disuluh oleh cahaya malam yang bersinar-sinar. Tanpa disedari air mata keluar membasahi pipi. Dan sejurus sampai di pintu masuk (King Abdul Aziz) Masjidil Haram, Alhamdulillah…. Alhamdulillah… Alhamdulillah… anak mata kepala ini dapat menyaksikan sendiri Keagungan dan Kemuliaan Ka’bah… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… sekali lagi tanpa disedari air mata ini menitis ke pipi apabila Allah izinkan saya menyaksikan sendiri Nikmat Ka’bah. Susah untuk saya gambarkan disini. Inilah Pengalaman Paling Berharga sepanjang saya hidup di muka bumiNya. Pertama kali melihat Keagungan Ka’bah, kita amat digalakkan untuk mengucapkan syukur yang tidak terhingga, mohon agar diperkenankan DOA dan minta diizinkan untuk kembali dan kembali melihat Ka’bah di lain masa.

 

Kami mulakan Tawaf Umrah mengelilingi Ka’abah sebanyak 7 kali pusingan. Alhamdulillah, sepanjang tawaf saya dan keluarga dapat bersama hingga ke akhir walaupun manusia penuh sesak.

 

Kemudian kami meneruskan Sa’ie daripada Safa hingga ke Marwah 7 kali perjalanan. Dan diakhiri dengan Tahallul. Syukur Alhamdulillah ibadah Umrah kami dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah yang timbul. Allah banyak permudahkan urusan kami.

 

30 Mei 2012 : Kami hanya berulang-alik mengerjakan Solat Fardhu Lima Waktu di Masjidil Haram. Tiada aktiviti luar dijalankan hari ini.

 

31 Mei 2012 : Ziarah ke Masjid Hudaibiyah (tempat Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani antara Kaum Ansar dan Muhajirin), kemudian kami ke Padang Arafah, Mina dan Bukit Tsur (Gua Tsur tempat persembunyian Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar ketika Penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah).

 

1 Jun 2012 : Solat Jumaat di Masjidil Haram. 30 minit sebelum masuk waktu, jemaah telah penuh di dalam Masjidil Haram. Ada yang tidak dapat masuk dan mereka hanya solat dikawasan sekitar sahaja.

 

2 Jun 2012 : Ziarah Muzium Ja’ranah, Ladang Unta (sambil minum susu unta fresh) dan Miqat di Muzdalifah. Alhamdulillah, saya dan keluarga berkesempatan untuk melakukan Ibadah Umrah untuk kali kedua.

 

3 Jun 2012 : Aktiviti bebas.

4 Jun 2012 : Check-out dan Tawaf Wida’. Dalam perjalanan ke Airport, kami singgah di Masjid Terapung.

5 Jun 2012 : Syukur Alhamdulillah, rombongan kami selamat tiba di Tanah Air jam 5 petang.

 

Sungguh banyak pengajaran yang saya peroleh sepanjang Trip Umrah ini, lebih-lebih lagi ujian yang Allah berikan kepada semua jemaah. Allah ingin menguji tahap Keimanan dan Kesabaran Hamba-hambaNya. Pada masa ini baru kita akan sedar sejauh mana Level Kesabaran dan Keimanan kita kepadaNya.

 

InsyaAllah tahun hadapan saya berazam untuk membawa lebih ramai lagi ahli keluarga dan sahabat handai saya ke bumi suci Mekah dan Madinah ini. Susah untuk saya kongsikan nikmat kesana dengan pena mahupun dengan kata-kata. Biar mereka rasa sendiri nikmat Paling Berharga ini. InsyaAllah setiap daripada kita layak menjadi tetamuNya. Apa yang penting adalah pasangkan NIAT SUCI kita bermula hari ini.

 

Semoga dengan coretan pengalaman ini dapat memberikan sesuatu manfaat kepada semua pembaca. Terima kasih ya sudi membacanya!

 

-MasterYus.com-

 

 

 

 

 

Share

Related Posts

About The Author

9 Comments

Add Comment

Leave a Reply to alizal Cancel reply

Unable to load the Are You a Human PlayThru™. Please contact the site owner to report the problem.