Sekitar Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010

Share

48,327 calon UPSR dapat semua A

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Nov. – Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.

”Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

“Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.

”Pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun menandakan pencapaian mereka semakin baik,” katanya.

Abd. Ghafar berkata, bilangan calon istimewa pada tahun ini bertambah sebanyak 184 orang dan pencapaian baik mereka meningkat sebanyak 1.97 peratus manakala GPN bagi pencapaian keseluruhan meningkat sebanyak 0.02 peratus.

Menurut Abd. Ghafar, bagi prestasi mengikut pelajaran pula diukur mengikut Gred Purata Mata pelajaran (GPMP) dan analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dibuat secara berasingan memandangkan bilangan waktu pembelajaran berbeza dan kertas soalan disediakan tidak setara.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun bagi Bahasa Melayu Penulisan bagi Gred A menurun sebanyak 8.9 peratus.

”Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK secara keseluruhannya meningkat dengan mencatatkan nilai GPMP sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

”Di SJK pula, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bagi Gred A menurun masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.4 peratus, bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris meningkat 2.69 peratus berbanding 2.8 peratus tahun lalu.

”Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, peratusan calon mendapat Gred A meningkat iaitu masing-masing 1.9 peratus dan 1.7 peratus daripada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud diduduki semua pelajar Tahun Enam sebagai memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, keputusan ujian itu yang dilaksanakan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

”Daripada keputusan ujian ini, kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional serta seni menunjukkan penurunan ketara pada tahun ini.

”Bagaimanapun, kecenderungan ini mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian tersebut telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi, kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan dan harus digunakan di peringkat nasional untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.

Credit kepada Utusan Online : http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Peningkatan memberangsangkan

Anak yatim, Siti Nur Jannah Shahrir menunjukkan slip keputusan Peperiksaan UPSR 5A kepada neneknya, Azizah Mohd. Yusoff berlatar belakangkan kesan banjir yang melanda di Taman Uda, Alor Setar, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Semua sekolah di seluruh negara mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 yang diumumkan, hari ini.

DI KUALA LUMPUR, seramai 2,548 calon UPSR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mencatat keputusan cemerlang semua A.

Bagaimanapun, keputusan itu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 10.96 peratus tahun lepas yang mendapat keputusan sama berbanding 10.93 peratus tahun ini.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman berkata, jumlah peratus pelajar yang mendapat semua A itu pada tahun ini mewakili 10.93 peratus daripada jumlah calon keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan itu iaitu 23,305 orang.

DI SEREMBAN, seramai 2,324 orang calon negeri ini berjaya mencapai keputusan penuh 5A dan 7A, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, pencapaian cemerlang itu juga memperlihatkan peningkatan baik Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.01 peratus kepada 2.19, di mana nilainya berkurangan berbanding 2.20 pada tahun lalu.

DI KUANTAN, Pahang mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila keputusan UPSR menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, peningkatan keputusan kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 0.6 peratus iaitu kepada 69.02 peratus berbanding 68.39 peratus pada tahun lalu.

“Keputusan pada tahun ini begitu baik iaitu bukan sahaja peningkatan dari segi kuantiti tetapi kualiti secara keseluruhannya,” katanya.

DI SHAH ALAM, pencapaian keseluruhan calon yang menduduki UPSR mengikut Gred Purata Negeri di Selangor tahun ini meningkat 2.22 peratus berbanding 2.24 peratus tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Sulaiman Wak berkata, kejayaan itu turut disumbang oleh dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 4, Bangi dan SK Bukit Jelutong, Shah Alam yang masing-masing 120 muridnya mendapat 5A.

Sebuah lagi sekolah tambahnya,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Lick Hung, Petaling Perdana, Subang Jaya menyaksikan 115 muridnya mencapat keputusan yang sama.

DI HULU TERENGGANU, Terengganu mencipta sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai negeri terbaik keseluruhan dalam UPSR selama sedekad.

Seramai 3,560 orang daripada 23,147 calon UPSR di negeri itu mendapat semua A (15.4 peratus) dengan menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu, daripada jumlah tersebut seramai 2,138 orang (9.2 peratus) mendapat 4A 1B manakala seramai 15,462 (66.8 peratus) mendapat minimum C dalam semua subjek.

DI IPOH, seramai 4,201 murid atau 9.99 peratus daripada 42,057 calon UPSR mencatat prestasi cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, bilangan murid yang mencatatkan keputusan penuh 5A atau 7A kali ini meningkat seramai 264 orang berbanding 3,937 murid pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1.21 peratus daripada 8.78 peratus.

DI KUCHING, seramai 2,035 daripada 43,265 calon UPSR dari Sarawak berjaya mencatat keputusan cemerlang iaitu mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Mortadza Alop berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 152 adalah dari sekolah kebangsaan (SK) dan 383 orang pula merupakan calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

DI ALOR SETAR, bilangan dan peratus calon UPSR yang memperoleh gred A bagi semua matapelajaran di negeri ini meningkat pada tahun ini dari 3,742 (9.36 peratus) pada 2009 kepada 3,866 (10.0 peratus).

Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Saad berkata, seramai 39,781 murid menduduki UPSR pada tahun ini.

Menurutnya, bilangan dan peratus calon yang berjaya mencapai tahap minimum bagi semua matapelajaran pada tahun ini adalah 24,208 bersamaan dengan 62.60 peratus.

Credit kepada Utusan Online : http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

48,327 semua A

Oleh Azrina Ahzan bhnews@bharian.com.my

2010/11/12

PASANGAN kembar yang juga pelajar OKU, Ahmad Rosli yang mendapat 2A,3B (kiri)  bersama adiknya, Muhammad Rosli yang mendapat 4A,1B selepas mengambil slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2) Shah Alam, semalam.

PASANGAN kembar yang juga pelajar OKU, Ahmad Rosli yang mendapat 2A,3B (kiri) bersama adiknya, Muhammad Rosli yang mendapat 4A,1B selepas mengambil slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2) Shah Alam, semalam.

Pencapaian UPSR 10.02 peratus terbaik dalam sejarah

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan itu, pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

“Alhamdulillah, peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) juga berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR 2010, di sini, semalam.

Katanya, pencapaian calon luar bandar yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran juga amat memuaskan, meningkat 0.8 peratus daripada tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September lalu.

Abdul Ghafar berkata, peningkatan itu merapatkan lagi jurang pencapaian calon cemerlang (gred A) antara bandar dan luar bandar daripada 0.20 mata (mengikut GPN) kepada 0.04 mata.
Mengenai calon golongan istimewa, beliau berkata, mereka yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran meningkat 1.97 peratus, menjadikan GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 mata.

Katanya, Ujian Aptitud yang dijalankan tahun ini menunjukkan peningkatan dalam bidang sosial, budaya dan sukan, manakala bidang akademik, teknik, vokasional dan seni menunjukkan penurunan ketara antara 5.4 peratus hingga 26.6 peratus.

Bagaimanapun, katanya, kecenderungan itu bukanlah satu ukuran pencapaian kerana ia boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Tahun ini adalah kali kedua Ujian Aptitud atau potensi diri dilaksanakan bertujuan mengumpul maklumat mengenai minat, potensi dan kecenderungan murid pada akhir tahun sekolah rendah yang akan digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti,” katanya.

Mengenai prestasi mata pelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon mendapat gred A bagi mata pelajaran matematik meningkat 1.9 peratus manakala mata pelajaran Sains meningkat 1.7 peratus berbanding 2009.

Abdul Ghafar berkata, ada peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperoleh Gred A iaitu 4.5 peratus manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajarannya dan cakupan kandungannya adalah berbeza.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69 peratus (2.80 tahun lalu).

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Credit kepada Berita Harian Online : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/48_327semuaA/Article/

Sakit kulit kronik tak jadi penghalang

2010/11/12

NUR ZAHARATULNAIM diraikan kedua ibu bapanya di Sekolah Kebangsaan Jitra 3, semalam.

NUR ZAHARATULNAIM diraikan kedua ibu bapanya di Sekolah Kebangsaan Jitra 3, semalam.

JITRA: Penyakit kulit kronik yang dihidapi bukanlah penghalang bagi Nur Zaharatulnaim Hasbollah, 12, untuk mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum semalam.

Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Jitra 3, itu, berkata dia tidak percaya mampu memperoleh 5A dalam semua subjek kerana terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Besar Jitra di sini, berikutan masalah penyakit kulit dihidapinya.

Katanya, berikutan kesukaran untuk berjalan kerana ketegangan urat kaki akibat penyakit itu, dia terpaksa didukung bapanya ke hospital bagi menjawab kertas peperiksaan UPSR, September lalu.

“Walaupun ketika itu saya menderita akibat penyakit kulit, hati saya tetap berkeras untuk melakukan yang terbaik, apatah lagi ketika itu saya tidak dapat menulis dengan baik.

“Kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang terlalu banyak berkorban menjaga saya ketika sakit,” katanya.

Credit kepada Berita Harian Online : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sakitkulitkroniktakjadipenghalang/Article

Kematian ayah tidak patahkan semangat

2010/11/12

Nurul Ilmiah Abdul Rahim

Nurul Ilmiah Abdul Rahim

SEREMBAN: Kematian ayah akibat sakit jantung beberapa bulan sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak mematahkan semangat Nurul Ilmiah Abdul Rahim, 12, untuk mendapat 5A, sekali gus memenuhi harapan arwah ayahnya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri di sini, mengakui sedih dengan pemergian ayahnya, Abdul Rahim Ahmad, 58, Jun lalu, tetapi menguatkan azam untuk cemerlang dalam UPSR dengan belajar bersungguh-sungguh.

Anak sulung dua beradik itu turut mengikuti kelas tambahan dan belajar berkumpulan bersama teman rapat untuk mengurangkan perasaan sedih.

“Walaupun belajar begitu kadang-kadang membuatkan hilang tumpuan kerana lebih banyak berbual, saya terhibur dengan cara itu.

“Lebih menggembirakan, semua rakan dalam kumpulan itu mendapat 5A dan ini membuktikan belajar secara kumpulan masih berkesan,” katanya ketika ditemui di SK Puteri di sini, semalam.

Nurul Ilmiah yang bercita-cita menjadi peguam berkata, keputusan cemerlang itu juga adalah hadiah kepada ibunya, Ramlah bachik, 49.

Pasangan kembar di sekolah sama, Patricia Wong Ke Ying, 12, dan Felecia Wong Ke Seen,12, yang masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1B, gembira memperoleh keputusan itu.
Walaupun Felecia sebagai kakak pada mulanya menangis kerana gagal mendapat 5A, dia tetap gembira kerana adiknya mendapat 5A.

Dia yang bercita-cita menjadi akauntan berkata, dia akan terus berusaha bersama kembarnya untuk mencapai kejayaan di peringkat sekolah menengah.

Patricia pula berkata, mereka tidak mempunyai petua belajar tertentu dan hanya belajar bersama setiap hari dan mengikuti kelas tambahan.

Credit kepada Berita Harian Online : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kematianayahtidakpatahkansemangat/Article

Share

Related Posts

About The Author

10 Comments

Add Comment

Unable to load the Are You a Human PlayThru™. Please contact the site owner to report the problem.