Sekitar Keputusan PMR 2010

Share

PMR terbaik dalam tempoh 4 tahun

2010/12/24

30,863 calon dapat A semua mata pelajaran

PUTRAJAYA: Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mencatatkan keputusan yang terbaik dalam tempoh empat tahun apabila 30,863 daripada 439,456 calon mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.65 peratus atau 2,675 calon berbanding tahun lalu.

Bilangan calon yang mendapat semua E (gagal) pula menurun daripada 397 pada tahun lalu kepada 386 tahun ini dengan peratus penurunan kekal pada 0.09 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata peningkatan pencapaian dalam 16 mata pelajaran yang terbaik itu diukur berdasarkan tiga petunjuk iaitu pencapaian cemerlang (semua A), pencapaian yang baik (minimum D) dan Gred Purata Nasional.

Peningkatan itu berkat usaha pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang, selain usaha berterusan daripada pihak sekolah untuk memperbaiki prestasi sekolah masing-masing, katanya ketika membentangkan analisis keputusan PMR 2010, di sini, semalam.

Seramai 479,675 calon menduduki peperiksaan PMR 2010 di 3,499 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 5 hingga 12 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, 446,896 adalah calon Kementerian Pelajaran, calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah perantis tentera (5,069), calon sekolah swasta (14,756), calon sekolah agama tadbiran kerajaan negeri (11,370), calon sekolah agama rakyat (1,250) dan calon persendirian perseorangan (334).

Di KUALA TERENGGANU, Terengganu terus unggul sebagai negeri terbaik dalam pencapaian PMR tahun ini apabila mencatat gred purata negeri (GPN) 2.58 berbanding 2.60 tahun sebelumnya.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu, Razali Daud, berkata jumlah calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.69 peratus kepada 7.81 peratus atau 1,746 pelajar, berbanding 7.12 peratus tahun lalu.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah JPN Wilayah Persekutuan, Mohd Adenan Deraman, berkata prestasi keseluruhan tahun ini yang terbaik dalam tempoh empat tahun di mana pencapaian minimum semua D meningkat 0.07 peratus dan semua E menurun daripada 20 calon tahun lalu kepada 16 orang tahun ini, walaupun bilangan mendapat semua A merosot kepada 1,850 atau 8.56 peratus berbanding 1,940 calon atau 8.84 peratus tahun lalu.

Di KUANTAN, Pemangku Pengarah JPN Pahang, Yahya Zainal Abidin, berkata seramai 1,641 daripada 23,856 calon PMR memperoleh semua A, meningkat 6.88 peratus berbanding 5.70 peratus tahun lalu, dengan 367 pelajar mendapat 9A, 8A (1,183) dan 7A (91).

Di KOTA BHARU, Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang, berkata seramai 2,023 atau 6.76 peratus calon mencatat keputusan semua A, sekali gus mencatat rekod pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Di KANGAR, Timbalan Pengarah JPN Perlis, Abdul Hadi Harun, berkata 333 calon PMR mendapat A dalam semua mata pelajaran, termasuk 116 pelajar dari SMK Derma, meningkat 18 peratus berbanding 282 calon tahun lalu.

Di JOHOR BAHRU, Pengarah JPN Johor, Markom Giran, berkata secara keseluruhan prestasi 58,682 calon PMR yang terbaik dalam tempoh empat tahun sejak 2007 di mana pencapaian cemerlang semua A meningkat kepada 3,575 calon.

Di MELAKA, Pengarah JPN Melaka, Juliah Leman, berkata 1,137 atau 8.22 peratus calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, meningkat 5.86 peratus berbanding tahun lalu, manakala pencapaian minimum D juga meningkat kepada 70.1 peratus berbanding 66.6 peratus sebelum ini.

Di SEREMBAN, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Abdul Halim Abdul Razak, berkata 1,482 atau 8.69 peratus daripada 19,311 calon PMR di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.62 peratus berbanding sebelumnya, dengan GPN 2.71.

Di SHAH ALAM, Pengarah JPN Selangor, Sulaiman Wak, berkata 6,907 atau 9.1 peratus daripada 75,711 calon PMR di Selangor memperoleh A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.3 peratus berbanding 6,592 calon atau 8.8 peratus tahun
lalu.

Di IPOH, Timbalan Pengarah JPN Perak, Mohd Idris Ramli, berkata seramai 3,017 daripada 41,810 calon PMR di Perak memperoleh A dalam semua mata pelajaran meliputi 279 pelajar mendapat 9A, 2,083 (8A) dan 655 (7A).

Di GEORGETOWN, Pengarah JPN Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata seramai 2,103 daripada 22,418 calon PMR di Pulau Pinang memperoleh A dalam semua mata pelajaran, iaitu 131 pelajar mendapat 9A, 1,521 (8A) dan 451 (7A), meningkat 132 calon berbanding tahun lalu.

Di ALOR SETAR, Pengarah JPN Kedah, Abdullah Saad, berkata seramai 1,981 calon PMR mendapat semua A, meningkat sebanyak 5.60 peratus, berbanding 1,736 pelajar tahun lalu, manakala pencapaian GPN tahun ini ialah 2.857, lebih baik berbanding 2.878 tahun lalu.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PMRterbaikdalamtempoh4tahun/Article/index_html

30,863 calon dapat A semua subjek

Abd. Ghafar Mahmud menunjukkan laporan Pengumuman Keputusan Penilaian Menengah Rendah di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Dis. – Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dengan seramai 30,863 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud ketika mengumumkan keputusan itu berkata, jumlah pelajar yang mendapat semua A meningkat sebanyak 2,675 orang atau 0.65 peratus berbanding 28,188 orang pada tahun lalu.

”Bilangan calon yang mendapat semua E pula menurun daripada 397 orang pada tahun 2009 kepada 386 orang pada tahun ini.

”Keputusan PMR secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan dengan Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik iaitu daripada 2.78 pada tahun 2009 kepada 2.74 pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Seramai 479,675 orang calon telah menduduki PMR tahun ini dengan 93.17 peratus daripada mereka terdiri daripada calon sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Abd. Ghafar berkata, jurang keputusan PMR di kawasan luar bandar dengan kawasan bandar semakin rapat dengan lebih ramai calon luar bandar mendapat A dalam semua mata pelajaran.

”Seramai 5,825 pelajar luar bandar telah mendapat A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini berbanding 4,775 orang pada tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pencapaian calon istimewa menurun sedikit dari segi bilangan yang mendapat semua A dan minimum semua D.

”Sebanyak lima calon istimewa mendapat A dalam semua mata pelajaran tahun ini berbanding tujuh orang pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran buat kali kedua memperkenalkan Pendidikan Kesenian dalam empat bidang iaitu tari, muzik, teater dan seni visual di Sekolah Seni, Johor Bahru dan Sekolah Seni, Kuching.

”Kesemua mata pelajaran dalam Pendidikan Kesenian telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang.

”Bidang Tari menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan calon yang mendapat gred tertinggi iaitu Band 4,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.

Rajin bertanya pasangan kembar dapat 8A

PENAMPANG 23 Dis. – Walaupun tidak berpeluang mengikuti kelas tuisyen, ia tidak menghalang pasangan kembar, Maurice Mojini (Jr) dan Aaron Balanti mencatat keputusan cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bagi pelajar Sekolah Menengah St. Michael itu, tanpa kelas tuisyen pelajar boleh berjaya dalam peperiksaan jika belajar bersungguh-sungguh.

”Selain disiplin dan kesungguhan, saya rasa rahsia di sebalik kejayaan ini adalah kerana kami suka dan tidak takut bertanya.

”Selagi ada kemusykilan, kami akan terus bertanya sama ada kepada guru, keluarga atau kawan-kawan,” kata Maurice ketika ditemui hari ini.

Menurut Maurice kelas tambahan yang diadakan di sekolah mereka sudah mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran yang diajar di sekolah.

Sementara itu, bapa kembar berkenaan, Maurice Mojini (Sr) berkata, dia tidak pernah mencampuri urusan pembelajaran anak-anaknya.

”Saya memberikan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk mengurus sendiri masa belajar.

”Dengan ini ia mengurangkan tekanan dan membolehkan mereka memberi lebih perhatian kepada pelajaran masing-masing,” katanya.

Aliran agama mampu catat 9A

Muhammad Faizie Mohd. Ghazali dijulang oleh rakannya yang turut mendapat keputusan cemerlang dalam PMR selepas diumumkan di SM Tahfiz al-Quran Chenderah, Jasin, Melaka, semalam.


JASIN 23 Dis. – Seorang pelajar tahfiz Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran Chenderah di sini, Muhammad Faizie Mohd. Ghazali berjaya membuktikan dia mampu memperoleh 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) biarpun dalam aliran agama.

Muhammad Faizie, 15, memperolehi 9A pada PMR yang diumumkan hari ini dengan mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Agama dan Bahasa Arab.

Menurutnya, dia tidak menyangka memperolehi keputusan tersebut memandangkan dia hanya mampu mendapat 5A 3B dan 1C pada peperiksaan percubaan PMR lalu.

”Saya mendapat B dalam tiga mata pelajaran iaitu Geografi, Bahasa Inggeris dan Matematik manakala C bagi mata pelajaran Sains namun Alhamdulilah, berkat dorongan ibu bapa dan guru, saya berjaya meraih keputusan cemerlang ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.

Remaja itu yang bercita-cita menjadi usahawan pengusaha pusat tahfiz berkata, dia hanya mengamalkan hafalan al-Quran dan puasa sunat setiap hari bagi melengkapkan persiapan dirinya menduduki PMR.

Anak kedua daripada tujuh beradik pasangan Mohd. Ghazali Aman, 42, dan Fauziah Ismail, 41, itu berkata, kejayaannya tersebut berkat dorongan daripada kedua ibu bapa yang tidak pernah jemu memberinya sokongan moral untuk berjaya dalam peperiksaan.

Muhammad Faizie antara 39 pelajar sekolah tersebut yang menduduki PMR lalu dengan empat pelajar mendapat 8A dan sembilan orang lagi memperolehi 7A.

Turut berkongsi kegembiraan dengan Muhammad Faizie mendapat keputusan cemerlang dalam PMR ialah seorang anak anggota tentera Kem Sungai Udang di sini, Ahmad Aliff Kosim.

Kata Muhammad Faizie, kejayaannya meraih keputusan 8A amat tidak disangka kerana dia hanya mampu meraih 3A 6B pada peperiksaan percubaan lalu.

8A hadiah untuk arwah ibu, ayah

ALOR SETAR 23 Dis. – Biarpun ibu dan bapanya sudah meninggal dunia akibat kemalangan ngeri di Gurun tahun lalu, kata-kata semangat daripada mereka sentiasa tersemat kukuh di hati Aiman Syafiqah Mohd. Yusuf, 15.

Buktinya, Aiman Syafiqah yang merupakan anak kepada Mohd. Yusof Ahmad, 53, dan Hasnah Hamzah, 52, yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dua hari sebelum Aidilfitri tahun lalu berjaya meraih 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Selain meragut nyawa kedua ibu bapanya, kemalangan itu turut meragut nyawa dua kakaknya iaitu Hazwani Izati, 24, dan Hafizatun Alimi, 20.

Menurut pelajar itu, dia terlalu gembira dengan keputusan tersebut dan tidak menyangka akan memperoleh 8A memandangkan sewaktu peperiksaan percubaan dahulu dia hanya mendapat 7A 1B.

“Saya gembira, namun pada masa turut sedih kerana ibu dan ayah tiada di sini untuk bersama-sama meraikan kegembiraan ini.

“Sewaktu mengambil keputusan di atas pentas tadi saya menangis kerana terkenangkan saat-saat ibu yang terus mendukung saya selepas saya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dahulu,” ujarnya dengan linangan air mata di sini, hari ini.

Aiman Syafiqah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini berkata, sewaktu ibunya masih hidup wanita itu selalu berpesan supaya sentiasa tekun menuntut ilmu kepada semua anak-anaknya.

“Selepas tragedi tersebut, saya sedikit terganggu namun saya bernasib baik kerana masih ada kakak, Farah Yuziana Mohd. Yusof; guru-guru dan teman yang selalu memberi kata-kata semangat.

“Mereka selalu ingatkan saya supaya belajar bersungguh-sungguh, jadi keputusan 8A ini adalah hadiah untuk kesemua mereka yang sentiasa berada di sisi saya pada saat yang sukar itu,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Abdullah Saad, seramai 1,981 calon PMR di negeri ini berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada tahun ini.

Jumlah calon yang mendapat semua A itu juga meningkat sebanyak 5.60 peratus iaitu bertambah sebanyak 245 orang daripada 1,736 orang pada tahun lepas.

“Jumlah calon yang telah mendaftar untuk peperiksaan ini adalah 35,909 orang dan pencapaian gred purata negeri bagi tahun ini adalah 2.857 dan jumlah ini meningkat sebanyak 0.021 berbanding dari 2009 iaitu 2.878,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

JOIN OUR NEWSLETTER
I agree to have my personal information transfered to AWeber ( more information )
Join over 3.000 visitors who are receiving our newsletter and learn how to optimize your blog for search engines, find free traffic, and monetize your website.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.
Share

Related Posts

About The Author

Add Comment